Fikir Zikir
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran ALLAH) bagi orang yang berakal" Surah Ali-'Imran: Ayat 190
Wednesday, October 31, 2012
Saturday, May 21, 2011
Fikir Zikir
Membuat diri terfikir, alangkah bertuahnya dan indahnya perasaan hamba-hambaMu yang bergelar saintis 'tersungkur' menyembah Allah seperti sujudnya para ahli sihir yang mengakui kebenaran Nabi Musa a.s sebagai Rasul di zaman firaun ketika kalahnya ular mereka dibaham ular (mukjizat) Nabi Musa. Pastinya mereka merasai keindahan dan kesyukuran mendapat taufik dan hidayah untuk menjadi hamba Tuhan Yang Esa, sehingga tidak takut diseksa firaun.Oh, Allahuakbar!
Merenung pensyarah dari kejauhan di bilik kuliah yang berhawa dingin yang hangat dengan perasaan moga mereka yang hebat menerangkan pada anak muridnya tentang erti kehebatan jantung berdegup merasai nikmat kesejukan menghirup madu kemanisan iman. Melihat kehebatan tubuh manusia yang dicipta sehebat-hebatnya, tetapi jangan dilupa tentang penciptaan alam yang lebih hebat, tetapi sedihnya sedikit sekali yang menyedarinya. Ya, hanya yang berakal merasai! Subhanallah!
Melihat bumi Malaysia yang indah pada pandangan fizikal pentadbirannya tanpa merasakan kesakitan dan keparahan rohani penghuninya dalam mentadbirnya.
Diri ini sayang pada negara ini, ya 1 Malaysia semestinya.
Ya Allah, hamba mohon diberi taufik dan hidayah pada kami semua untuk berubah sebelum murkaMU datang.
Tolonglah ya Allah.
Ya, Allah menguji sesuai dengan kemampuanmu, so, lakukanlah semampunya demi kebaikan umat ini supaya kamu ada hujah dihadapan Hakim Yang Agung nanti....
InsyaAllah, moga kami bermanfaat untuk agamaMU.
p/s: mohon doa, supaya bergraduasinya kita dari universiti bukanlah hanya kejayaan mengenggam segulung ijazah yang enak dimamah anai-anai, sebaliknya hebat membawa perubahan semampumu di bidangmu demi Tuhanmu yang menyayangimu ^^,
hanya kata-kata dari hati.
Assalamualaikum w.b.t.
Thursday, May 12, 2011
Wednesday, December 15, 2010
Hamba Fikir
Hamba ada sesuatu ingin dibicarakan,
Hamba melihat-lihat suasana di 'sekitar' hamba,
Hamba fikir,
Hamba terfikir,
Hamba sering memikirkan,
Apa yang hamba-hambaMU ini sedang memikirkan...
Hamba fikir,
Apa adik dan kakak hamba fikir ketika mereka meletakkan si comel merah di situ...
Hamba fikir,
Apa adik, kakak, makcik hamba fikir ketika melihat badan mereka bertukar 'nangka' masak...
Hamba terfikir lagi,
Apa agaknya abang, pakcik, kakak hamba fikir ketika menghidu haruman fulus ke muka berserta 'senyuman' sinis.
Oh, dunia,
Hina sungguh kamu!
Kamu tiada tempat dihati hamba,
Kamu, kamu, tiada cinta dihati hamba,
Kamu jangan perasan!
Ya ALLAH,Bantulah hamba ini untuk sentiasa mengingatiMU,Bantulah hamba untuk sentiasa mensyukuri nikmatMU,Bantulah hamba dalam memperbaiki ibadah hamba ini,Amin
Hingga hamba memikirkan sesuatu,
Tentang diri hamba sendiri,
Akhirnya,
Satu konklusi hamba fikirkan untuk diri hamba,
Hamba fikir,
Hamba perlu berbuat sesuatu,
Hamba perlu HIJRAH!
Hamba yakin,
InsyaAllah,
Perubahan hamba,
Mencetus perubahan adik, kakak, abang, pakcik, makcik dan insan sekitar hamba,
Iaitu adik-beradik seakidah hamba!
Sunday, October 24, 2010
'Ibadurrahman-Hamba Yang Rahman
Sahabat-sahabat, ana cuba kongsikan sedkit bedah buku dari buku yang bagus ini. Minat membaca, untuk menjadi hamba yang berilmu. InsyaALLAH. Sama-sama hayati dan muhasabah. Ingin lebih lanjut, silalah cari bukunya. Sekian.
(#SILA RUJUK PADA SURAH AL-FURQAN AYAT 63-77)
Pendahuluan:
Didalam ayat ini, ALLAH S.W.T telah berfirman dan menjelaskan kepada kita tentang sifat-sifat sebenar ‘Ibadurrahman atau hamba Yang Rahman untuk dijadikan teladan untuk diikuti dan dicontohi. Apakah dia ‘Ibadurrahman? ‘Ibadurrahman adalah golongan hamba yang menghambakan diri mereka pada ALLAH semata-semata. Tetapi, terdapat juga golongan hamba yang lain seperti hamba syaitan, hamba taghut, wang dan sebagainya.
‘Ibadurrahman ini disandarkan kepada Zat ALLAH Yang Suci (Ar-Rahman) yang mengandungi pengertian, bahawa mereka adalah hamba-hamba yang layak untuk mendapat rahmat ALLAH dan mereka selalu berada dalam lingkungan rahmat ini dimana rahmat memagari mereka dari arah kanan, kiri, atas dan bawah.
Apakah kita juga ingin termasuk golongan ‘Ibadurrahman? Apakah kita ingin menyandarkan diri pada ALLAH? Adakah kita ingin menjadi salah seorang dari mereka? Jika kita menginginkan, maka ketahuilah sifat-sifat mereka sehingga kita terdorong untuk termasuk dalam golongan sebenar-benar hamba disisi ALLAH S.W.T Pemerintah Sekalian Alam. ALLAHUAKBAR!
Tetapi, hakikatnya ia bukan terletak pada ucapan dan pengakuan sahaja kerana berapa banyak manusia yang berkata: ‘Aku termasuk dalam ‘Ibadurrahman, tetapi perilakunya mengatakan:’Engkau ‘Ibadusy-syaitan, hamba syaitan bukan ‘IBADURRAHMAN! Na’uzubillahiminzalik…
Mari kita hayati dan muhasabah bersama…
TAFSIR SURAH AL-FURQAN AYAT 63-77 SECARA RINGKAS:
1. TAWADDUK
-Sifat yang pertama ini, adalah mereka berjalan dimuka bumi dalam keadaan rendah hati. Dengan ungkapan ini, dapat kita gambarkan cara berjalan dan sifat berjalan yang semuanya mempunyai nilai disisi ALLAH. Orang yang mukmin berjalan dengan tenang, rendah-hati penuh kewibawaan sebagai orang yang mengetahui mereka berasal dari tanah dan akan kembali ke tanah jua.
-Berjalan dengan rendah hati bukan bermakna kita membongkok-bongkokkan diri seperti orang sakit kerana Nabi S.A.W tidak berbuat begitu bahkan dengan cara sederhana, iaitu tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat. Inilah cara berjalannya orang mukmin, yang mengandungi kekuatan tetapi tawaduk.
-Setiap orang, mukmin harus belajar sikap tawaduk,merendahkan diri di hadapan ALLAH, siapa yang merendahkan diri kepadaNYA, ALLAH akan meninggikannya dimana dia merasa hina dimatanya, tetapi mulia dimata manusia dan sebaliknya. Tawaduk nampak dalam cara berjalan, jika wanita muslimah, dia berjalan dengan malu-malu seperti puteri Nabi Syuaib a.s bertemu Nabi Musa a.s (Al-Qasas: 25) dan seperti penjelasan ALLAH tentang cara muslimah berjalan. ( An-Nur:31)
2. MURAH HATI
-Sifat yang kedua, ialah menerangkan keadaan kita semasa bergaul dengan orang yang jahil (bukan tiada ilmu tetapi orang yang buruk akhlaknya). Keadaan ‘Ibadurrahman yang mengucapkan kata yang baik berupa bebas dari perkataan dosa, celaan dan akibat yang kurang baik bererti salam sejahtera, dan tidak membalas dengan kata-kata tidak elok walaupun berkemampuan untuk membalas apabila orang jahil menyapa mereka (berkata kata-kata tidak elok pada kita) dan tidak marah kerana ‘Ibadurrahman tidak marah melainkan marah kerana menegakkan hukum ALLAH, marah membela kebenaran akidah, syariat dan maruah umat bukan diri sendiri dan dunia.
-Seorang ‘Ibadurrahman tidak mempedulikan kata-kata kesat orang yang jahil dengan tidak membalasnya kerana jika dia melayannya, tentu dia tidak boleh istiqamah dalam kehidupannya, tidak tenang dan sibuk dan membuang masa dengan kebatilan. Sebaliknya dia lebih suka melapangkan dadanya dan berkata benar dan lidahnya tidak dibasahkan dengan gurauan tetapi dengan berzikir pada ALLAH, baca AQ, bertahmid dan sibuk dengan urusan yang lebih besar, sibuk dengan urusan agamanya, urusan umatnya (tidak sibuk membela dirinya).
-Anas Ibn Malik pernah ditanya tentang ayat ini, dia berkata:” Maksudnya,adalah seseorang yang apabila ada saudaranya mencaci dirinya, dia berkata:” Jika apa yang kau katakan ini benar, moga ALLAH mengampuni kesalahanku, jika dusta, moga ALLAH mengampuni kesalahanmu”. Dengan cara ini,api kemarahan akan padam.
3. MENDIRIKAN SOLAT MALAM
-Sifat yang ketiga, seterusnya, ketika manusia lain enak diselimuti mimpi atau berjaga malam sambil melakukan sesuatu menurut hawa nafsu, pada saat itulah mereka bersama RABB dengan bangun dan sujud padaNYA. Mereka berada diantara berdiri dan sujud, berdiri membaca kitab ALLAH, kalam ALLAH dan berlindung padaNYA dari api neraka. Mereka bukan mencari keredhaan manusia, tidak mencari nama, tetapi semata-mata kerana ALLAH iaitu berharap dan takut, ertinya mengharapkan pahala disisiNYA, dan takut akan seksa dariNYA meskipun ada tempat tidur yang empuk dan lembut.
-Mereka jarang berada ditempat tidur, sedikit tidur dan diakhir malam mereka memohon ampunan diatas keterbasan amalan, mengingati mati dikala pelbagai ragam manusia yang berjaga malam tanpa apa-apa manfaat atau tidur nyenyak hingga pagi. Ada orang yang menganggap tidur yang terlalu lama itu merugikan kerana selepas jasad ditidurkan diliang lahad, dia akan menghadapi perjalanan yang lama dan abadi. Thawus pernah berkata: “Mengingati neraka jahannam boleh menghapuskan rasa mengantuk dari mata para ahli ibadah.”
-Tuntutan yang paling sederhana adalah dari dirimu ialah melaksanakan fardhu. Tetapi ALLAH menyifatkan ‘Ibadurrahman bahawa mereka orang-orang sujud dan solat kepada RABB tidak menyifatkan mereka sebagai orang yang hanya memelihara solat fardhu. Memang memelihara solat fardhu suatu tingkatan. Tetapi tingkatan amalan ‘Ibadurrahman adalah lebih tinggi lagi.
4. TAKUT NERAKA
-Sifat yang keempat, seterusnya, lalu apa yang mendorong mereka melakukan hal diatas? Tiada lain adalah takut dan berharap. Mereka takut kepada ALLAH, ingat kepada akhirat seakan kehidupan akhirat dan neraka terpampang dihadapan mereka, tidak lupa pada urusan mereka yang pertama, bahawa mereka dalam perjalanan kepada ALLAH. Meskipun mereka hidup, tetapi tidak kekal, mereka pasti mati dan menuju ke kampung abadi. Boleh ke syurga atau neraka.
-Setelah kematian, mereka akan dibangkitkan, kemudian dihisab, setelah itu, kita tidak tahu kita menerima kitab dari tangan kiri atau kanan?kemana hala tuju pun kita tidak tahu sama ada syurga atau neraka? Tetapi kenapa kita masih lebih banyak ketawa?Maka tidak hairanlah ‘Ibadurrahman disifatkan ALLAH seperti firmanNYA: “Wahai tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya menggerikan.” Seolah-olah neraka Jahannam dihadapan mereka (Al-Furqan: 65). Wahai muslimin muslimat, takutlah api neraka ( At-Tahrim: 6).
5. SEDERHANA DALAM MEMBELANJAKAN HARTA
-Keadaan ‘Ibadurrahman tidak semestinya tidak berharta, dan ada kalanya dikalangan golongan kaya. Mereka bukan rahib atau pendeta,tetapi mereka diperintah tidak terbuai oleh harta kerana harta merupakan nikmat yang harus disyukuri dan juga merupakan pinjaman dari ALLAH, hanya diberi kepercayaan untuk menguruskan dan menjadi wakil ALLAH untuk mengembangkannya. Jadi, harta harus dibelanjakan pada kedudukan yang dibenarkan syariat, tidak kedekut dan tidak berlebihan kerana akhlak Islam adalah bersederhana dan jalan tengah. Rujuk firman ALLAH pada surah Israa’: 26-29)
6. BERTAUHID
-‘Ibadurrahman mempunyai tauhid yang hakiki dimana bagi mereka hanya ALLAH S.W.T tanpa mempersekutukannya dengan tandingan-tandingan lain. Dia tidak takut pada sesuatu, tidak berharap, tidak memohon pertolongan pun melainkan ALLAH S.W.T bahkan kematian pun tidak ditakutinya kerana dia tahu setelah kematian ada kehidupan disana begitu juga pada rezeki, kerana dia tahu dan ajal sudah ditentukan. Begitulah tauhid ‘Ibadurrahman yang menjadi sumber keamanan dan ketenteraman jiwa kerana tauhid adalah pembebasan jiwa, bukan ketundukan selain dari ALLAH.
-Tauhid yang hakiki membuatkan orang muslim menjadi peribadi yang kuat berdiri disisi kebenaran, membelanya, berjuang dengan jiwa dan hartanya kerana ALLAH S.W.T. Dengan cara ini kebangkitan akan terwujud , risalah Islam menjadi kuat dan ummat menjadi unggul.
7. MENJAUHI PEMBUNUHAN DAN MENGHORMATI KEHIDUPAN
-‘Ibadurrahman, mereka menyembah ALLAH semata-mata, menjaga tujuan utama risalah ALLAH kepada makhluknya, iaitu akidah atau iman atau tauhid. Risalah ini bukan sahaja untuk menjaga agama dan akidah semata-mata, tetapi juga menjaga darah dan jiwa, kehormatan dan kesucian, akal dan keturunan dan harta benda. Islam begitu menghormati jiwa manusia. Bahkan Islam tidak membenarkan memusnahkan hidup sendiri. Dirinya adalah milik ALLAH. Orang muslim tidak wajar terburu-buru melepaskan diri dari kesulitan dengan cara membunuh diri. Muslim dianjurkan untuk bersabar dan redha menghadapi ketetapanNYA dan berharap kepada ALLAH dibebaskan dari masalah itu (Yusuf:87) kerana tentu ada kemudahan menghadapi kesulitan.
8. MENJAUHI ZINA
-‘Ibadurrahman, mereka tidak berzina dan tidak melakukan dosa besar yang diharamkan ALLAH (Al-Israa: 32). Islam amat melarang setiap jejak yang menghubungkan atau mendekatkan kepada zina seperti berdua-duaan dengan yang bukan mahram dsb kerana Islam menjaga kehormatan dan keturunan dan bertindak membersihkan dari lingkungan kekejian agar pemuda pemudi Islam terjaga kehormatannya seperti firman ALLAH pada surah An-Nuur: 30-31. Kita juga diperintahkan agar menjaga kesucian diri dan menjauh dari hal-hal yang hina hingga ada kemampuan untuk berkahwin secara rasmi dan halal. Siapa yang menjaga kesuciannya, nescaya ALLAH akan menjaganya, dan siapa yang berusaha sabar, nescaya ALLAH akan menolongnya sabar. Hikmahnya, kerana hendak melindungi individu, keluarga dan masyarakat sehingga tercipta masyarakat yang suci dan bersih tanpa menjadi hamba nafsu shahwat .
9. TAUBAT NASUHA
-Tiada tertutupnya pintu taubat bagi hamba-hambaNYA yang melakukan dosa dan kemungkaran kerana itu merupakan rahmat ALLAH S.W.T bagi hamba-hambaNYA kerana ALLAH mengetahui kelemahan mereka yang sering dikuasai nafsu, syaitan, Maha Mengetahui hamba-hambaNYA yang diciptakan dengan penuh kelemahan. Allahlah yang menciptakan manusia dalam keadaan begitu kerana Dia ingin menerima taubat hambaNYA. Sepertimana asma’Nya, ALLAH Maha Penerima Taubat dan Maha Mengampuni dan Memaafkan.
-Apa itu taubat nasuha, sebenar-benar taubat?Nasuha bererti terepas dari kepura-puraan dan taubat nasuha tidak seperti taubat pendusta yang hanya dilidah, tapi hatinya masih ingin mengerjakannya. Ada rukun-rukunnya: 1)Penyesalan, sifat-sifat orang yang bertaubat seperti firman ALLAH dalam surah Taubah: 118. 2)Hasrat untuk tidak mengulangi. 3)Memutuskan secara langsung dengan dosa yang pernah dilakukan.
-Setiap muslim dituntut untuk bertaubat kerana siapa yang boleh mendakwa dirinya bebas dari dosa? Setiap orang pasti memiliki keterbatasan dalam memenuhi hak ALLAH dan hak orang lain kerana itu, kita harus sentiasa bertaubat memohon keampunanNYA nescaya DIA tidak menolak kehadiran kita dan tidak menangguhkannya atau berangan-angan kerana kematian akan datang begitu tiba-tiba sebab kebanyakan penghuni neraka ialah mereka yang berangan-angan dengan berkata,” Aku akan bertaubat dan…..”Padahal ucapannya termasuk golongan iblis. Jadi, ‘Ibadurrahman harus menjadi orang-orang yang bertaubat dan tunduk pada ALLAH S.W.T.
10. TIDAK BERSUMPAH PALSU DAN MENINGGALKAN PERBUATAN TIDAK BERMANFAAT
-Ibadurrahman, tidak mahu memberikan kesaksian palsu. Mereka adalah orang-orang yang memberikan kesaksian yang benar, meskipun kesaksian itu memberatkan dirinya, anak, keluarga atau kerabatnya. Hubungan yang jauh dan permusuhan dengan musuh tidak menghalanginya untuk memberikan kesaksian yang benar.(Al-Maa’idah: 8, Al-An’aam: 152). Jika diminta menjadi saksi, lalu mereka mengatakan menurut pengetahuannya tanpa sebarang penipuan dan tidak enggan untuk menjadi saksi (Al-Baqarah: 282).
-‘Ibadurrahman juga menghindarkan dirinya majlis yang diwarnai keburukan, agar dia tidak terkena bara api yang menimpa orang yang melakukannya dan keburukan lain (mengumpat dsb) yang memakan kebaikan. Jika kita duduk ditempat itu, kita sama mendorong orang melakukannya seperti firman ALLAH dalam surah An-Nisaa’ ayat 140 yang mengatakan individu itu sama seperti orang-orang kafir hanya kerana dia duduk bersama dan mendengarkan perkataan mereka yang menentang ayat-ayat ALLAH.
11. MENYELAMI AYAT-AYAT ALLAH
-Inilah sifat ‘Ibadurrahman yang menyatukan bersama ayat-ayat ALLAH, yang membuka hati, kata dan telinganya. Tidak menanggapi ayat-ayat itu layaknnya seperti orang buta dan tuli tapi mempunyai telinga yang mendengar, mata yang melihat dan hati yang memperhatikan. Al-Quran ini dapat menambah keimanan orang-orang mukmin (Al-Anfaal:2) dan menambahkan kekafiran orang kafir yang mendengarkannya (At-Taubah:124-125). Orang mukmin harus membuka hatinya dan mengoyak tabir kelalaian, syahwat dan takbur dari hatinya. Tabir-tabir inilah yang menghalang pemahaman Al-Quran. Al-Quran tidak cukup hanya dihafal, tetapi mestilah beramal dengan Al-Quran dan menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai contoh tauladan dalam hal ini tanpa diabaikan pengamalan dan kandungannya diremehkan kerana Alllah akan menanyai kita tentang Al-Quran ini.
12. MEMOHON KEBAIKAN BAGI ISTERI DAN KELUARGA
-Golongan ‘Ibadurrahman sentiasa memanjatkan doa sebegini memohon kepada ALLAH agar dikurniakan keturunan yang menyenangkan hati, yang memenuhi hak ALLAH dan hak kedua-duaibu bapa. Melalui doa yang dipanjatkan, mereka ingin membuat kebaikan, memiliki kedudukan terhormat dalam masalah kebaikan dan mahu jadi teladan yang baik. Maka tidak ada salahnya orang mukmin memohon dijadikan pemimpin dalam kebaikan dan bagi orang-orang yang baik.
“SEMOGA KITA SAMA-SAMA USAHA DAN TERGOLONG DALAM GOLONGAN ‘IBADURRAHMAN"
"Kerana kita hidup bertuhan, Alhamdulillah"
Puteri Islam, UM
Saturday, October 23, 2010
Hizbullah (golongan ALLAH)? Indahnya!
Ana mulakan dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani... Syukur dengan nikmatNYA, biarpun betapa banyak khilaf hambaNYA, masih tetap dikurniakan nikmat yang terbesar, IMAN dan ISLAM...ana bersyukur ya ALLAH.
"Ya muqallibal qulub, tsabit qulubana a'la dinik wa'ala tha'atik"Ya ALLAH tuhan yang Maha membolak-balikan hati manusia, tetapkanlah hati kami atas agamaMU dan ketaatan padaMU...
Ya ALLAH, sepanjang umur 22 tahun ini, apa yang dah ana korbankan untuk untuk ISLAM???
Fikir
Perlu difikirkan sentiasa. Perlu fikir, dimana kita disisi ISLAM? Adakah ISLAM perlukan kita? Adakah ISLAM jatuh bila kita tiada? Adakah ALLAH perlukan kita? Adakah ALLAH rugi bila kita tidak berkorban untuk ISLAM? Subhanallah. Sebaliknya, ALLAH akan gantikan dengan kaum yang lain!
Adakah ciri hizbullah pada kita? Ya ALLAH, ruginya, jika kita masih tidak kisah dimana kedudukan kita. Ada juga hamba ALLAH, tapi, dia hizbusyaitan. Dia mengaku sahaja hamba ALLAH, tetapi, perilakunya, seolah-olah tidak bertuhan! Na'uzubillahiminzalik!Firman ALLAH S.W.T:"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa diantara kamu berpaling tadah dari ugamaNYA, maka ALLAH akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan DIA; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas kepada orang-orang yang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan ALLAH, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia ALLAH Maha Luas limpah kurniaNYA, lagi meliputi pengetahuanNYA".
"Sesungguhnya, penolong kami adalah ALLAH, dan RasulNYA, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah ALLAH)".
"dan sesiapa mereka yang menjadikan ALLAH dan RasulNYA serta orang-orang yang beriman itu PENOLONGNYA (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang teguh kepada ugama) ALLAH, itulah yang tetap MENANG".Ayat 54-54: Al-Maidah
Dari bangun tidur hingga kita melangkah ke tempat tidur, apa yang kita sudah buat untuk ISLAM hari ini ya? Buat apa? Kita dimana sebenarnya. Dimana? HizbuLLAH (golongan ALLAH) atau golongan yang sebaliknya?
Kita digolongan mana sebenarnya? Kita ini, apa matlamatnya? Hidup untuk apa?
Tidak perlukan ISLAM, habis tu, apa yang engkau perlukan? Apa jaminanmu selamat diakhirat nanti?
Fikir.
Bersawang
Blog ini, bukanlah sebagai diari. Ana tidak pernah menulis diari, Tidak perlu bagi diri ini. Alhamdulillah, sahabat memberi semangat. Hakikatnya, ana ingin menulis sesuatu untuk agama yang ana banggakan sangat ini. Ana bangga menjadi muslimah, mukminah...insyaALLAH. Terima kasih ya ALLAH. Sayangnya....tidak sabar untk bertemu.
Hakikatnya, kematian itu indah bukan? Jangan takut. Bukanlah pengakhiran hidup kita, tapi, permulaan hidup menujuNYA. Permulaan untuk bertemuNYA. Indah bukan ISLAM ini? Kita ditarbiyah untuk tidak takut mati. Sebaliknya, ditarbiyah untuk INGAT mati dan BERSEDIA menghadapinya, dan....itulah orang yang paling bijaksana. Syukran ya Rasulullah S.A.W, moga kami dapat bertemu juga, insyaALLAH...
Ya ALLAH, jangan tinggalkan ana berseorangan. Ana perlukanMU ya ALLAH. Cukuplah Engkau bagiku. Alhamdulillah, sekali lagi, ana dan kita hidup bertuhan. Suka ana mengulanginya ^^,
Gembira. Syukran Ya ALLAH.
Sekarang
Fikir, sepanjang umur kita ini, apa sudah kita korbankan untuk agama ALLAH yang mulia ini? Post-mortem balik, kita mahu di golongan mana sebenarnya.
Wasalam,
"Kerana kita hidup bertuhan, Alhamdulillah"
Puteri Islam, UM