Thursday, May 20, 2010

'Ibadurrahman-Hamba Yang Rahman

[ana post balik, untuk peringatan bersama]

Assalamualaikum W.B.T...

JOM sama-sama MENGEMBARA MENJADI HAMBA YANG SEBENARNYA...INSYAALLAH




CIRI-CIRI PERIBADI CEMERLANG IBADURRAHMAN
-Ciri Yang ALLAH Sebutkan 1500 Tahun dahulu oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawiy

(#SILA RUJUK PADA SURAH AL-FURQAN AYAT 63-77)


Pendahuluan:

Didalam ayat ini, ALLAH S.W.T telah berfirman dan menjelaskan kepada kita tentang sifat-sifat sebenar ‘Ibadurrahman atau hamba Yang Rahman untuk dijadikan teladan untuk diikuti dan dicontohi. Apakah dia ‘Ibadurrahman? ‘Ibadurrahman adalah golongan hamba yang menghambakan diri mereka pada ALLAH semata-semata. Tetapi, terdapat juga golongan hamba yang lain seperti hamba syaitan, hamba taghut, wang dan sebagainya.

‘Ibadurrahman ini disandarkan kepada Zat ALLAH Yang Suci (Ar-Rahman) yang mengandungi pengertian, bahawa mereka adalah hamba-hamba yang layak untuk mendapat rahmat ALLAH dan mereka selalu berada dalam lingkungan rahmat ini dimana rahmat memagari mereka dari arah kanan, kiri, atas dan bawah.

Apakah kita juga ingin termasuk golongan ‘Ibadurrahman? Apakah kita ingin menyandarkan diri pada ALLAH? Adakah kita ingin menjadi salah seorang dari mereka? Jika kita menginginkan, maka ketahuilah sifat-sifat mereka sehingga kita terdorong untuk termasuk dalam golongan sebenar-benar hamba disisi ALLAH S.W.T Pemerintah Sekalian Alam. ALLAHUAKBAR!

Tetapi, hakikatnya ia bukan terletak pada ucapan dan pengakuan sahaja kerana berapa banyak manusia yang berkata: ‘Aku termasuk dalam ‘Ibadurrahman, tetapi perilakunya mengatakan:’Engkau ‘Ibadusy-syaitan, hamba syaitan bukan ‘IBADURRAHMAN! Na’uzubillahiminzalik…


Mari kita hayati dan muhasabah bersama…

TAFSIR SURAH AL-FURQAN AYAT 63-77 SECARA RINGKAS:

1. TAWADDUK

-Sifat yang pertama ini, adalah mereka berjalan dimuka bumi dalam keadaan rendah hati. Dengan ungkapan ini, dapat kita gambarkan cara berjalan dan sifat berjalan yang semuanya mempunyai nilai disisi ALLAH. Orang yang mukmin berjalan dengan tenang, rendah-hati penuh kewibawaan sebagai orang yang mengetahui mereka berasal dari tanah dan akan kembali ke tanah jua.

-Berjalan dengan rendah hati bukan bermakna kita membongkok-bongkokkan diri seperti orang sakit kerana Nabi S.A.W tidak berbuat begitu bahkan dengan cara sederhana, iaitu tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat. Inilah cara berjalannya orang mukmin, yang mengandungi kekuatan tetapi tawaduk.

-Setiap orang, mukmin harus belajar sikap tawaduk,merendahkan diri di hadapan ALLAH, siapa yang merendahkan diri kepadaNYA, ALLAH akan meninggikannya dimana dia merasa hina dimatanya, tetapi mulia dimata manusia dan sebaliknya. Tawaduk nampak dalam cara berjalan, jika wanita muslimah, dia berjalan dengan malu-malu seperti puteri Nabi Syuaib a.s bertemu Nabi Musa a.s (Al-Qasas: 25) dan seperti penjelasan ALLAH tentang cara muslimah berjalan. ( An-Nur:31)

2. MURAH HATI

-Sifat yang kedua, ialah menerangkan keadaan kita semasa bergaul dengan orang yang jahil (bukan tiada ilmu tetapi orang yang buruk akhlaknya). Keadaan ‘Ibadurrahman yang mengucapkan kata yang baik berupa bebas dari perkataan dosa, celaan dan akibat yang kurang baik bererti salam sejahtera, dan tidak membalas dengan kata-kata tidak elok walaupun berkemampuan untuk membalas apabila orang jahil menyapa mereka (berkata kata-kata tidak elok pada kita) dan tidak marah kerana ‘Ibadurrahman tidak marah melainkan marah kerana menegakkan hukum ALLAH, marah membela kebenaran akidah, syariat dan maruah umat bukan diri sendiri dan dunia.

-Seorang ‘Ibadurrahman tidak mempedulikan kata-kata kesat orang yang jahil dengan tidak membalasnya kerana jika dia melayannya, tentu dia tidak boleh istiqamah dalam kehidupannya, tidak tenang dan sibuk dan membuang masa dengan kebatilan. Sebaliknya dia lebih suka melapangkan dadanya dan berkata benar dan lidahnya tidak dibasahkan dengan gurauan tetapi dengan berzikir pada ALLAH, baca AQ, bertahmid dan sibuk dengan urusan yang lebih besar, sibuk dengan urusan agamanya, urusan umatnya (tidak sibuk membela dirinya).

-Anas Ibn Malik pernah ditanya tentang ayat ini, dia berkata:” Maksudnya,adalah seseorang yang apabila ada saudaranya mencaci dirinya, dia berkata:” Jika apa yang kau katakan ini benar, moga ALLAH mengampuni kesalahanku, jika dusta, moga ALLAH mengampuni kesalahanmu”. Dengan cara ini,api kemarahan akan padam.

3. MENDIRIKAN SOLAT MALAM

-Sifat yang ketiga, seterusnya, ketika manusia lain enak diselimuti mimpi atau berjaga malam sambil melakukan sesuatu menurut hawa nafsu, pada saat itulah mereka bersama RABB dengan bangun dan sujud padaNYA. Mereka berada diantara berdiri dan sujud, berdiri membaca kitab ALLAH, kalam ALLAH dan berlindung padaNYA dari api neraka. Mereka bukan mencari keredhaan manusia, tidak mencari nama, tetapi semata-mata kerana ALLAH iaitu berharap dan takut, ertinya mengharapkan pahala disisiNYA, dan takut akan seksa dariNYA meskipun ada tempat tidur yang empuk dan lembut.

-Mereka jarang berada ditempat tidur, sedikit tidur dan diakhir malam mereka memohon ampunan diatas keterbasan amalan, mengingati mati dikala pelbagai ragam manusia yang berjaga malam tanpa apa-apa manfaat atau tidur nyenyak hingga pagi. Ada orang yang menganggap tidur yang terlalu lama itu merugikan kerana selepas jasad ditidurkan diliang lahad, dia akan menghadapi perjalanan yang lama dan abadi. Thawus pernah berkata: “Mengingati neraka jahannam boleh menghapuskan rasa mengantuk dari mata para ahli ibadah.”

-Tuntutan yang paling sederhana adalah dari dirimu ialah melaksanakan fardhu. Tetapi ALLAH menyifatkan ‘Ibadurrahman bahawa mereka orang-orang sujud dan solat kepada RABB tidak menyifatkan mereka sebagai orang yang hanya memelihara solat fardhu. Memang memelihara solat fardhu suatu tingkatan. Tetapi tingkatan amalan ‘Ibadurrahman adalah lebih tinggi lagi.

4. TAKUT NERAKA

-Sifat yang keempat, seterusnya, lalu apa yang mendorong mereka melakukan hal diatas? Tiada lain adalah takut dan berharap. Mereka takut kepada ALLAH, ingat kepada akhirat seakan kehidupan akhirat dan neraka terpampang dihadapan mereka, tidak lupa pada urusan mereka yang pertama, bahawa mereka dalam perjalanan kepada ALLAH. Meskipun mereka hidup, tetapi tidak kekal, mereka pasti mati dan menuju ke kampung abadi. Boleh ke syurga atau neraka.

-Setelah kematian, mereka akan dibangkitkan, kemudian dihisab, setelah itu, kita tidak tahu kita menerima kitab dari tangan kiri atau kanan?kemana hala tuju pun kita tidak tahu sama ada syurga atau neraka? Tetapi kenapa kita masih lebih banyak ketawa?Maka tidak hairanlah ‘Ibadurrahman disifatkan ALLAH seperti firmanNYA: “Wahai tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya menggerikan.” Seolah-olah neraka Jahannam dihadapan mereka (Al-Furqan: 65). Wahai muslimin muslimat, takutlah api neraka ( At-Tahrim: 6).

5. SEDERHANA DALAM MEMBELANJAKAN HARTA

-Keadaan ‘Ibadurrahman tidak semestinya tidak berharta, dan ada kalanya dikalangan golongan kaya. Mereka bukan rahib atau pendeta,tetapi mereka diperintah tidak terbuai oleh harta kerana harta merupakan nikmat yang harus disyukuri dan juga merupakan pinjaman dari ALLAH, hanya diberi kepercayaan untuk menguruskan dan menjadi wakil ALLAH untuk mengembangkannya. Jadi, harta harus dibelanjakan pada kedudukan yang dibenarkan syariat, tidak kedekut dan tidak berlebihan kerana akhlak Islam adalah bersederhana dan jalan tengah. Rujuk firman ALLAH pada surah Israa’: 26-29)

6. BERTAUHID

-‘Ibadurrahman mempunyai tauhid yang hakiki dimana bagi mereka hanya ALLAH S.W.T tanpa mempersekutukannya dengan tandingan-tandingan lain. Dia tidak takut pada sesuatu, tidak berharap, tidak memohon pertolongan pun melainkan ALLAH S.W.T bahkan kematian pun tidak ditakutinya kerana dia tahu setelah kematian ada kehidupan disana begitu juga pada rezeki, kerana dia tahu dan ajal sudah ditentukan. Begitulah tauhid ‘Ibadurrahman yang menjadi sumber keamanan dan ketenteraman jiwa kerana tauhid adalah pembebasan jiwa, bukan ketundukan selain dari ALLAH.

-Tauhid yang hakiki membuatkan orang muslim menjadi peribadi yang kuat berdiri disisi kebenaran, membelanya, berjuang dengan jiwa dan hartanya kerana ALLAH S.W.T. Dengan cara ini kebangkitan akan terwujud , risalah Islam menjadi kuat dan ummat menjadi unggul.

7. MENJAUHI PEMBUNUHAN DAN MENGHORMATI KEHIDUPAN

-‘Ibadurrahman, mereka menyembah ALLAH semata-mata, menjaga tujuan utama risalah ALLAH kepada makhluknya, iaitu akidah atau iman atau tauhid. Risalah ini bukan sahaja untuk menjaga agama dan akidah semata-mata, tetapi juga menjaga darah dan jiwa, kehormatan dan kesucian, akal dan keturunan dan harta benda. Islam begitu menghormati jiwa manusia. Bahkan Islam tidak membenarkan memusnahkan hidup sendiri. Dirinya adalah milik ALLAH. Orang muslim tidak wajar terburu-buru melepaskan diri dari kesulitan dengan cara membunuh diri. Muslim dianjurkan untuk bersabar dan redha menghadapi ketetapanNYA dan berharap kepada ALLAH dibebaskan dari masalah itu (Yusuf:87) kerana tentu ada kemudahan menghadapi kesulitan.

8. MENJAUHI ZINA

-‘Ibadurrahman, mereka tidak berzina dan tidak melakukan dosa besar yang diharamkan ALLAH (Al-Israa: 32). Islam amat melarang setiap jejak yang menghubungkan atau mendekatkan kepada zina seperti berdua-duaan dengan yang bukan mahram dsb kerana Islam menjaga kehormatan dan keturunan dan bertindak membersihkan dari lingkungan kekejian agar pemuda pemudi Islam terjaga kehormatannya seperti firman ALLAH pada surah An-Nuur: 30-31. Kita juga diperintahkan agar menjaga kesucian diri dan menjauh dari hal-hal yang hina hingga ada kemampuan untuk berkahwin secara rasmi dan halal. Siapa yang menjaga kesuciannya, nescaya ALLAH akan menjaganya, dan siapa yang berusaha sabar, nescaya ALLAH akan menolongnya sabar. Hikmahnya, kerana hendak melindungi individu, keluarga dan masyarakat sehingga tercipta masyarakat yang suci dan bersih tanpa menjadi hamba nafsu shahwat .

9. TAUBAT NASUHA

-Tiada tertutupnya pintu taubat bagi hamba-hambaNYA yang melakukan dosa dan kemungkaran kerana itu merupakan rahmat ALLAH S.W.T bagi hamba-hambaNYA kerana ALLAH mengetahui kelemahan mereka yang sering dikuasai nafsu, syaitan, Maha Mengetahui hamba-hambaNYA yang diciptakan dengan penuh kelemahan. Allahlah yang menciptakan manusia dalam keadaan begitu kerana Dia ingin menerima taubat hambaNYA. Sepertimana asma’Nya, ALLAH Maha Penerima Taubat dan Maha Mengampuni dan Memaafkan.

-Apa itu taubat nasuha, sebenar-benar taubat?Nasuha bererti terepas dari kepura-puraan dan taubat nasuha tidak seperti taubat pendusta yang hanya dilidah, tapi hatinya masih ingin mengerjakannya. Ada rukun-rukunnya: 1)Penyesalan, sifat-sifat orang yang bertaubat seperti firman ALLAH dalam surah Taubah: 118. 2)Hasrat untuk tidak mengulangi. 3)Memutuskan secara langsung dengan dosa yang pernah dilakukan.

-Setiap muslim dituntut untuk bertaubat kerana siapa yang boleh mendakwa dirinya bebas dari dosa? Setiap orang pasti memiliki keterbatasan dalam memenuhi hak ALLAH dan hak orang lain kerana itu, kita harus sentiasa bertaubat memohon keampunanNYA nescaya DIA tidak menolak kehadiran kita dan tidak menangguhkannya atau berangan-angan kerana kematian akan datang begitu tiba-tiba sebab kebanyakan penghuni neraka ialah mereka yang berangan-angan dengan berkata,” Aku akan bertaubat dan…..”Padahal ucapannya termasuk golongan iblis. Jadi, ‘Ibadurrahman harus menjadi orang-orang yang bertaubat dan tunduk pada ALLAH S.W.T.

10. TIDAK BERSUMPAH PALSU DAN MENINGGALKAN PERBUATAN TIDAK BERMANFAAT

-Ibadurrahman, tidak mahu memberikan kesaksian palsu. Mereka adalah orang-orang yang memberikan kesaksian yang benar, meskipun kesaksian itu memberatkan dirinya, anak, keluarga atau kerabatnya. Hubungan yang jauh dan permusuhan dengan musuh tidak menghalanginya untuk memberikan kesaksian yang benar.(Al-Maa’idah: 8, Al-An’aam: 152). Jika diminta menjadi saksi, lalu mereka mengatakan menurut pengetahuannya tanpa sebarang penipuan dan tidak enggan untuk menjadi saksi (Al-Baqarah: 282).

-‘Ibadurrahman juga menghindarkan dirinya majlis yang diwarnai keburukan, agar dia tidak terkena bara api yang menimpa orang yang melakukannya dan keburukan lain (mengumpat dsb) yang memakan kebaikan. Jika kita duduk ditempat itu, kita sama mendorong orang melakukannya seperti firman ALLAH dalam surah An-Nisaa’ ayat 140 yang mengatakan individu itu sama seperti orang-orang kafir hanya kerana dia duduk bersama dan mendengarkan perkataan mereka yang menentang ayat-ayat ALLAH.

11. MENYELAMI AYAT-AYAT ALLAH

-Inilah sifat ‘Ibadurrahman yang menyatukan bersama ayat-ayat ALLAH, yang membuka hati, kata dan telinganya. Tidak menanggapi ayat-ayat itu layaknnya seperti orang buta dan tuli tapi mempunyai telinga yang mendengar, mata yang melihat dan hati yang memperhatikan. Al-Quran ini dapat menambah keimanan orang-orang mukmin (Al-Anfaal:2) dan menambahkan kekafiran orang kafir yang mendengarkannya (At-Taubah:124-125). Orang mukmin harus membuka hatinya dan mengoyak tabir kelalaian, syahwat dan takbur dari hatinya. Tabir-tabir inilah yang menghalang pemahaman Al-Quran. Al-Quran tidak cukup hanya dihafal, tetapi mestilah beramal dengan Al-Quran dan menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai contoh tauladan dalam hal ini tanpa diabaikan pengamalan dan kandungannya diremehkan kerana Alllah akan menanyai kita tentang Al-Quran ini.

12. MEMOHON KEBAIKAN BAGI ISTERI DAN KELUARGA

-Golongan ‘Ibadurrahman sentiasa memanjatkan doa sebegini memohon kepada ALLAH agar dikurniakan keturunan yang menyenangkan hati, yang memenuhi hak ALLAH dan hak kedua-duaibu bapa. Melalui doa yang dipanjatkan, mereka ingin membuat kebaikan, memiliki kedudukan terhormat dalam masalah kebaikan dan mahu jadi teladan yang baik. Maka tidak ada salahnya orang mukmin memohon dijadikan pemimpin dalam kebaikan dan bagi orang-orang yang baik.

“SEMOGA KITA SAMA-SAMA USAHA DAN TERGOLONG DALAM GOLONGAN ‘IBADURRAHMAN"

AMIN

1 comment:

محمد حذوان بن حميدان said...

perkongsoian yg amt berguan..smoga dbrikn kekuatan utk trs mnulis..amin